Skuad wanita gusar dengan peluang di Piala Uber

Astro Arena
Mac 27, 2016 13:20 MYT
Potensi skuad wanita negara belum dapat dirumuskan berdasarkan prestasi semasa. - Foto Astro Arena
PRESTASI tidak konsisten di kejohanan antarabangsa membuatkan pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei ragu-ragu mengenai peluang dalam saingan Piala Uber di Kunshan, China Mei ini.
Khe Wei yang kini giat berlatih untuk Terbuka Malaysia tampak tidak optimis dengan kemampuan pasukan wanita negara dalam saingan Piala Uber kali ini.
Selain kuasa besar China, Khe Wei merasakan saingan daripada Sepanyol dan Denmark juga tidak boleh dipandang ringan.
"Sepanyol miliki pemain agak kuat terutama dalam acara perseorangan, jadi kami harap dapat mengutip mata menerusi acara berkumpulan," katanya.
Sementara itu perseorangan wanita, Tee Jing Yi, sedar potensi pasukan kebangsaan kurang memberangsangkan kebelakangan ini, namun berjanji akan berusaha mempertingkatkan permainannya.
Jing Yi melihat peluang Malaysia bersama Denmark dan Sepanyol terbuka berdasarkan tahap pemain yang sama rata.
"Kami masih ada peluang dengan Denmark, namun lain ceritanya dengan Sepanyol yang memiliki pemain seperti Carolina Marin," ujarnya.
#badminton #beregu wanita negara #Piala Uber
;