Skuad tinju bungkus awal, Judo sumbang gangsa
Astro Arena
Jun 8, 2015 09:51 MYT
Jun 8, 2015 09:51 MYT
Impian skuad tinju negara untuk membawa pulang pingat emas pertama berkecai apabila petinju harapan negara, Khir Akyazlan Azmi yang beraksi dalam acara Light Welter Weight lelaki (64kg) tewas 1-2 kepada Leong Jun Hao dari Singapura.
Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan yang beraksi dalam acara Light Flyweight lelaki (46kg-49kg) turut kandas di pusingan suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Rogen Ladon dari Filipina.
Nasib yang sama menimpa Muhammad Alnazirul Othman setelah disingkirkan petinju Indonesia, Papendang Farrand dengan mata 0-2 dalam acara Lightweight lelaki (60kg).
Arfiqanie Ahmad Anshori yang beraksi dalam acara Bantam Weight lelaki (56kg) pula tewas 0-3 kepada petinju Thailand, Ongjunta Tanes.
Sementara itu, Petrus Rudy yang beraksi dalam acara Middle Weight lelaki (69kg-75kg) turut mengalami kegagalan selepas tewas 0-3 kepada Ko Aung Ko yang mewakili Myanmar.
Disamping itu, skuad Judo negara menyumbang dua pingat gangsa apabila Nurizzatul Fazlia Mohamad Tahir meraih pingat tersebut dalam kategori 63-70kg wanita selepas mengalahkan atlet Laos Somsoudalath Venevankham dengan kiraan satu 'Shido' pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Dewan 2, Pusat Konvesyen dan Pameran Singapura (Singapore Expo) hari ini.
Pingat emas bagi acara tersebut menjadi milik Surattana Thonsri dari Thailand dan pingat perak pula milik peserta Myanmar, Kyaw Phyo Swe Zin.
Satu lagi pingat gangsa dari sukan judo disumbangkan oleh Sarifah Fazila Syed Salim yang beraksi dalam kategori 70-78 kg wanita.
Manakala pingat emas bagi acara tersebut milik Nguyen Thi Nhu Y yang mewakili Vietnam dan pingat perak pula milik atlet dari Myanmar, Aung Aye Aye.