Skuad taekwondo tuai satu emas, satu perak, satu gangsa di Terbuka Kanada

Bernama
Februari 10, 2024 14:27 MYT
Skuad wanita yang dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jin Ying berjaya meraih pingat Perak. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Skuad taekwondo negara menampilkan aksi cemerlang di kejohanan Terbuka Kanada 2024 apabila menuai satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam disiplin poomsae awal pagi tadi.
Emas Malaysia disumbangkan menerusi acara berpasukan lelaki yang dibarisi Jason Loo, Ken Haw Chin dan Randy Owen Augustine Linggi selepas meraih 8.449 mata, sekali gus mengatasi Amerika Syarikat di tempat kedua (8.183 mata) manakala wakil tuan rumah meraih gangsa dengan 8.049.
Pasukan wanita bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Meskipun meraih jumlah mata yang sama dengan pemenang pingat emas Mexico (8.199), skuad wanita yang dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jin Ying terpaksa akur selepas dibezakan 0.5 markah persembahan bagi penentuan juara.
Gangsa pula menjadi milik pasukan Kanada.
Sementara itu dalam poomsae berpasangan campuran, Malaysia merangkul gangsa menerusi gandingan Randy Owen-Jin Ying yang mencatatkan 8.282 mata keseluruhan.
Emas dimenangi wakil Kanada Ivan Leung-Cheuk Holly Hoi Ling dengan 8.582 mata manakala perak dimenangi Ryan Real-Kryn Real (8.366) dari Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
#skuad taekwondo negara #kejohanan Terbuka Kanada 2024 #raih emas #disiplin poomsae
;