Skuad Sepak Takraw Kelantan sasar satu pingat pada SUKMA Sarawak

Bernama
Julai 8, 2024 05:40 MYT
SUKMA 2024 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
KOTA BHARU: Skuad Sepak Takraw Kelantan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak Ogos depan.
Pengurus Skuad Sepak Takraw Sukma Kelantan Farizal Yusoff berkata pihaknya realistik dalam meletakkan sasaran dan tidak mahu dianggap sambil lewa pada temasya kali ini.
"Kita berjanji kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna pingat.
"Pada edisi dua tahun lepas di Kuala Lumpur, kami gagal membawa pulang sebarang pingat ke Kelantan dan kami mahu menebus pada SUKMA ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Farizal berkata persiapan pemain yang bakal dibawa ke Sarawak berjalan lancar di bawah bimbingan jurulatih iaitu Suhari Nordin dan Asyraf Mamat.
Menurut beliau, seramai 14 pemain akan dibawa ke Sawarak bagi menyertai empat acara yang dipertandingkan iaitu berpasukan, regu, double serta quadrant.
"Oleh itu, bagi memastikan pemain kami bersedia dengan perlawanan sebenar, pihak pengurusan telah mengatur beberapa perlawanan persahabatan antaranya menentang skuad Terengganu dan regu Sekolah Sukan Malaysia Terengganu serta menyertai Kejohanan Terbuka Kelantan," katanya.
Beliau berkata berdasarkan kepada perlawanan persahabatan dan kejohanan yang disertai itu, pemain bermain dengan baik.
"Kami yakin dengan kesungguhan jurulatih, pemain, MSN serta kerajaan negeri bahawa skuad kali ini akan mencapai sasaran satu pingat di Sarawak," katanya.
SUKMA 2024 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
-- BERNAMA
#perlawanan persahabatan #Sukma Sarawak #sambil lewa #sepak takraw
;