Skuad ragbi negara rancak jalani persiapan

Astro Arena
Januari 5, 2018 21:37 MYT
Dua aksi persahabatan bulan depan bakal menjadi ujian seterusnya buat skuad ragbi 15 sepasukan negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan Asia Premier, April nanti. -Foto Astro Arena
DUA aksi persahabatan bulan depan bakal menjadi ujian seterusnya buat skuad ragbi 15 sepasukan negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan Asia Premier, April nanti.
Menurut jurulatih, Lee Nyuk Fah, dia kini dalam proses untuk mencari kelab tempatan yang sesuai bagi menguji kemampuan barisan pemainnya.
Sebelum ini, mereka sudahpun berdepan KL Tigers, dengan Nyuk Fah menumpukan kepada keserasian di antara muka baru dan senior.
Dua pasukan yang bakal menjadi tentangan skuad negara selepas ini adalah kelab tempatan selain pasukan kebangsaan Singapura.
"Kami akan bertemu pasukan kebangsaan Singapura di Johor Bahru dan dari situ, saya akan mengukur dan membentuk pemain-pemain baru ini untuk bersedia menghadapi aksi antarabangsa," kata Nyuk Fah yang sedang mempersiapkan anak buahnya menghadapi gergasi Asia, Korea Selatan dan Hong Kong, dalam Kejohanan Asia Premier nanti.
Skuad ragbi 15 sepasukan negara kembali menjalani latihan fasa dua hari ini selepas berehat hampir dua minggu.
Sudah pasti, tumpuan terarah kepada pemain lock, K. Dineshwaran, yang mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan ketika beraksi dalam Liga Jepun, bulan lalu.
Begitupun, Nyuk Fah lebih fokus kepada pemahaman pemainnya terhadap corak permainan taktikal selain mengenal pasti apa kelemahan yang perlu diatasi.
"Kami akan menumpukan secara spesifik mengenai corak permainan kami sebaik dapat menurunkan barisan penuh, terutama pada bulan ini.
"Oleh itu, nanti dapatlah kami memberi tumpuan untuk menjalani persiapan dengan lebih lancar," katanya.
#kejohanan asia premier #KL Tigers #latihan #Lee Nyuk Fah #liga jepun #persiapan #Ragbi #skuad ragbi negara #sukan
;