Skuad projek FAM-MSN kenal pasti tiga pemain tunjukkan peningkatan ketara

Bernama
April 18, 2021 10:33 MYT
Yusri Che Lah enggan mendedahkan nama tiga pemain berkenaan kerana gusar mereka akan hilang fokus kerana memikirkan sudah berjaya.
SHAH ALAM: Skuad 'ubi muda' Projek FAM-MSN telah mengenal pasti tiga pemain yang menunjukkan peningkatan ketara dalam bola sepak dan setanding dengan pemain Liga Premier yang lain.
Namun, ketua jurulatih skuad itu Yusri Che Lah enggan mendedahkan nama tiga pemain berkenaan kerana gusar mereka akan hilang fokus kerana memikirkan sudah berjaya.
"Biar ini antara saya dengan pemain dan saya harap tiga pemain itu akan meneruskan peningkatan dan pemain lain mengikuti prestasi yang ditunjukkan mereka," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan United FC malam tadi.
Walaupun tewas 0-3 di laman sendiri dalam aksi Liga Premier itu, Yusri berkata beliau berbangga dan kagum dengan barisan pemainnya yang berusia antara 17 hingga 20 tahun bermain pada bulan Ramadan buat pertama kali.
Beliau berkata skuad bimbingannya itu memerlukan masa antara tiga hingga enam bulan ataupun setahun untuk menonjol.
Menafikan para pemainnya berada dalam keadaan tertekan pada perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi, Yusri berkata pemain perlu keluar daripada kotak pemikiran sendiri dan terus berusaha untuk meneruskan perjuangan liga yang masih berbaki 11 perlawanan lagi.
"Semua pasukan akan terus memberi tekanan dari awal hingga akhir kerana pihak lawan perlukan jaringan," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak #Projek FAM-MSN #pemain #Liga Premier #Yusri Che Lah
;