Skuad Projek FAM-MSN belasah Tok Janggut Warriors 5-1
Bernama
Mac 15, 2022 07:45 MYT
Mac 15, 2022 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Projek FAM-MSN membuka Liga Malaysia musim ini dengan penuh bergaya, apabila bangkit membenam Tok Janggut Warriors FC (TJWFC) 5-1 pada pusingan pertama Piala FA 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam tadi.
Skuad Projek yang turun tanpa sembilan pemain yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan sepakan percuma Khairul Izuan Rosli pada minit ke-18, yang berjaya menewaskan penjaga gawang Nabil Asyraf Ramli.
Skuad Projek bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Haikal Sahar pada minit ke-31, yang bijak memperdayakan benteng pertahanan dan penjaga gol kelab amatur itu, Syazwan Yusof.
Bersambung babak kedua, Haikal menggandakan jaringan pada minit ke-51 dengan meledak masuk hantaran silang dari rakan sepasukannya, sebelum melengkapkan hatrik dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-62.
Skuad kendalian Hassan Sazali Waras terus menambah derita buat kelab dari Liga M3 itu, apabila Wan Syamil Sulaiman Wan Salman menanduk masuk satu lagi gol selang lima minit kemudian.
Skuad Projek yang beraksi di Liga Premier buat musim kedua, terus mempamerkan kreativiti dalam mengambil sepakan percuma, apabila Ubaidullah Shamsul berjaya meledak jaringan kelima pada masa kecederaan (90+1) hasil umpanan kapten pasukan Faris Izdiham Awang Kechik yang tidak menyepak terus bola ke arah gawang sebaik sahaja wisel ditiup pengadil.
Skuad Projek sepatutnya membuka kempen Liga Malaysia musim ini menentang Selangor FC 2 pada 5 Mac, diikuti aksi Piala FA menentang TJWFC pada 11 Mac, namun kedua-dua aksi itu terpaksa ditunda apabila kesemua pemain dan dua jurulatih pasukan itu disahkan positif COVID-19.
-- BERNAMA