Skuad ping pong wanita terlepas peluang cipta sejarah rangkul emas Sukan SEA
Bernama
Mei 11, 2023 15:41 MYT
Mei 11, 2023 15:41 MYT
PHNOM PENH: Malaysia terlepas peluang untuk mencipta sejarah dalam acara ping pong berpasukan wanita pada Sukan SEA 2023 apabila tumpas di pentas final kepada juara bertahan Thailand 0-3 di Dewan Ping Pong Morodok di sini hari ini.
Namun, pujian harus diberikan kepada skuad negara yang dibarisi Karen Lyne, Alice Chang dan Tee Ai Xin yang melakar kejutan apabila berjaya mara ke perlawanan akhir selepas 30 tahun dalam acara berkenaan pada temasya kali ini.
Kali terakhir pasukan wanita Malaysia berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir adalah pada edisi 1993 di Singapura, dan meraih pingat perak.
Malaysia tidak pernah mengungguli acara berkenaan sepanjang acara itu dipertandingkan pada dwitahunan tersebut.
Pada saingan hari ini, Karen yang turun selaku pemain pertama tumpas kepada Suthasini Sawettabut 5-11, 9-11, 9-11.
Ketinggalan satu perlawanan, penampilan membanggakan Alice Chang bagaimanapun belum cukup untuk menyamakan kedudukan apabila tumpas kepada pemenang pingat emas perseorangan wanita edisi lepas di Hanoi, Vietnam Orawan Paranang dengan keputusan 11-5, 6-11, 6-11, 11-8, 9-11.
Percubaan Tee untuk mengheret ke perlawanan seterusnya turut gagal apabila kecundang kepada Jinnipa Sawattabut 2-11, 8-11, 7-11.
Kejayaan meraih pingat perak itu, bagaimanapun memperbaiki pencapaian di Hanoi apabila skuad negara pulang dengan gangsa.
Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad negara Beh Lee Wei memuji anak buahnya yang mempamerkan prestasi membanggakan walaupun gagal membawa pulang pingat emas.
Beliau mengakui pemain negara beraksi dalam keadaan tertekan kerana ia kali pertama mereka bersaing di perlawanan akhir pada temasya dwitahunan tersebut.
"Sasaran kami pada temasya ini ialah pingat gangsa dan pencapaian memenangi perak adalah satu kejutan. Jadi, saya beritahu kepada mereka, kita sudah sampai ke tahap ini dan mereka perlu melakukan yang terbaik," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap prestasi terbaik mereka dapat diteruskan pada kejohanan akan datang.
"Sebenarnya, kemenangan ke atas Singapura (3-0) di peringkat kumpulan menaikkan semangat pemain dan saya percaya ia permulaan kepada keputusan lebih baik pada masa akan datang," katanya yang berharap pemain negara dapat menghasilkan keputusan positif dalam acara perseorangan dan beregu selepas ini.
-- BERNAMA