Skuad olahraga sedia sahut cabaran di Kazakhstan
Bernama
Jun 18, 2021 15:57 MYT
Jun 18, 2021 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: Lapan atlet olahraga negara kini berada dalam keadaan baik serta bersedia menghadapi cabaran di Kejohanan Qosanov Memorial bermula esok dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.
Pengurus pasukan Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, skuad olahraga diketuai atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei telah melakukan latihan pemanas badan sejak semalam dan bersemangat tinggi untuk memberikan keputusan terbaik di Almaty, Kazakhstan.
Hup Wei menjadi sandaran utama untuk memburu tiket ke Olimpik berdasarkan kedudukan beliau dalam ranking olahraga dunia.
"Kita harapkan Hup Wei akan mempamerkan prestasi terbaik untuk mengesahkan tiket ke Olimpik.
"Pesaing utama adalah dirinya sendiri, Hup Wei perlu membuktikan yang dia mampu menghadapi cabaran. Kami juga menyasarkan keputusan podium daripada Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar lelaki) dan keputusan memuaskan daripada Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hup Wei, juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali, adalah atlet terbaik Malaysia dalam ranking Atlet Olahraga Dunia dikemas kini pada 15 Jun, sekali gus diletakkan harapan untuk mewakili negara di Tokyo.
Hup Wei pernah menyertai Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, berkedudukan ke-20 dengan 1,235 mata manakala Nauraj Singh Randhawa yang memenangi pingat emas di Kejohanan Tatabanya Siri Grand Prix (GP) baru-baru ini berada di ranking ke-46 dengan 1,176 mata.
Sementara itu, Wan Hisham berkata pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh Andre Anura Anuar masih belum berada pada tahap terbaik selepas baru sahaja pulih dari kecederaan tumit.
Atlet lain yang turut menyertai kejohanan berkenaan adalah Connie Chu (lempar cakera), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Jonathan Nyepa (100m) dan Muhammad Ilham Suhaimi (400m).
Dua jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan yang masing-masing muncul juara acara 100m lelaki Sukan SEA 2019 dan 2017, tidak dapat menyertai kejohanan berkenaan selepas Muhammad Haiqal didapati positif COVID-19, manakala Khairul Hafiz menjadi kontak rapatnya.
-- BERNAMA
#olahraga
#atlet negara
#Lee Hup Wei
#Kejohanan Qosanov Memorial
#Kazakhstan
#Olimpik Tokyo
#kelayakan
#wan hisham wan salleh