Skuad hoki remaja negara lepas geram belasah Uzbekistan 12-0
Sinar Harian
Jun 6, 2023 17:00 MYT
Jun 6, 2023 17:00 MYT
SKUAD hoki remaja wanita negara seakan melepaskan geram apabila membelasah Uzbekistan 12-0 dalam aksi ketiga Kumpulan A Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2023 di Jepun pada Selasa.
Pasukan kebangsaan yang dibimbing Lailin Abu Hassan dikecewakan India 1-2 dalam aksi kedua kumpulan pada Isnin.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara Gifu itu, dua pemain negara, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Zati Alyani Muhamad Zubir muncul penjaring hatrik.
Malah lebih manis buat Zati Alyani apabila dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.
Dalam pada itu, Lailin memberitahu biarpun pasukannya menewaskan Uzbekistan 12-0, namun beliau perlu menilai kembali keseluruhan persembahan pemain.
“Saya berpuas hati dengan 12 gol yang telah dihasilkan kerana ia sekali gus merapatkan jarak perbezaan gol dengan pasukan Korea untuk membuka laluan ke separuh akhir nanti," katanya.
Bagaimanapun di sebalik kemenangan besar itu, Lailin masih belum mahu berasa selesa kerana masih ada banyak kelemahan yang perlu dibaiki menjelang aksi menentang Korea Selatan pada Khamis.
“Dalam sesi latihan yang akan kami jalankan esok (Rabu) sebagai persiapan bertemu Korea pada Khamis, saya akan lebih memberikan fokus kepada taktikal dan mempertajamkan lagi pukulan sudut penalti sama ada serangan mahupun bertahan.
“Saya berharap pemain akan cepat menyesuaikan diri dengan taktikal yang akan kami rancang menjelang pertemuan dengan Korea.
“Korea merupakan antara pasukan pilihan selain mereka juga memiliki peluang baik untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
“Bagaimanapun, saya dan pasukan akan cuba untuk menampilkan sesuatu yang terbaik pada pertemuan dengan Korea agar satu slot ke separuh akhir menjadi milik kami,” katanya. - Sinar Harian