Skuad hoki negara berjaya pamer aksi berkualiti - Tengku Abdullah
Bernama
Mei 1, 2014 07:23 MYT
Mei 1, 2014 07:23 MYT
Kejayaan skuad hoki negara menewaskan pasukan pilihan New Zealand pada suku akhir Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di sini pada Khamis mendapat pujian ramai termasuk Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Tengku Abdullah, yang turut menyaksikan anak buah Muhammad Dharmaraj Abdullah mencatatkan kemenangan 3-2 menerusi pukulan penalti di Stadium Hoki Indera Mahkota, menyifatkan Malaysia menampilkan permainan yang berkualiti.
Perlawanan tersebut terpaksa diputuskan menerusi pukulan penalti apabila kedua-dua pasukan itu terikat 4-4 selepas tamat masa penuh perlawanan.
"Kita dapat melihat sendiri macam mana cara permainan pasukan hoki negara yang mampu mendahului New Zealand 4-1 pada separuh masa pertama dan kemudiannya mereka cuba mengatasi kita dengan cepat namun penentuan penalti telah memihak kepada kita," titah baginda kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Tengku Abdullah bertitah pemain juga telah berjaya memperagakan aksi yang baik setanding dengan pasukan yang berstatus lebih tinggi.
"Alhamdulillah, penentuan penalti telah memihak kepada kita dan semua telah terbukti," katanya.
Kritikan daripada luar bagaimanapun masih belum berakhir walaupun skuad hoki negara berjaya buktikan sesuatu hari ini, titah baginda apabila ditanya mengenai kritikan pedas yang diterima skuad negara sebelum ini setelah gagal mempamerkan aksi cemerlang pada dua perlawanan peringkat kumpulan.
Antara kritikan yang dilemparkan terhadap skuad negara ialah pemain 'lambat panas, bekas jurulatih remaja (Muhammad Dharmaraj) tidak berhak melatih skuad senior dan sebagainya.
Malaysia tercorot dalam Kumpulan B selepas diaibkan Perancis 3-2 dan 3-1 oleh Korea Selatan sebelum menang 4-3 ke atas Kanada.
Tengku Abdullah turut meluahkan rasa berpuas hati dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong memberi sokongan kepada pasukan negara.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan hoki negara," titahnya.
Pada perlawanan separuh akhir Sabtu ini, Malaysia akan berdepan dengan Kanada apabila pasukan itu mengatasi Poland 3-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.