Skuad hoki lelaki beri amaran awal
Bernama
Disember 15, 2013 07:06 MYT
Disember 15, 2013 07:06 MYT
Skuad hoki lelaki negara menepati ramalan mengutip mata penuh apabila membelasah Vietnam 13-0 pada perlawanan pembukaan temasya Sukan SEA ke-27 di Stadium Hoki Theinphy di sini, Ahad.
Vietnam nyata bukan tandingan buat Malaysia apabila ketinggalan lima gol pada babak pertama sebelum skuad bimbingan Tai Beng Hai menambah lapan lagi gol pada babak kedua perlawanan.
Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Azreen Rizal Nasir menghasilkan gol pertama seawal minit kedua.
Skuad negara mendominasi perlawanan dengan mempamerkan rentak agresif dan pergerakan kemas untuk mencipta kemenangan besar dengan Vietnam menghadiahkan gol sendri pada minit ke-63.
Tiga pemain masing-masing menjaringkan dua gol iaitu Dedi Aryadi Jumaidi pada minit ke-17 dan 49, Amin Rahim (20', 36') dan Dangerous Lee (45', 62').
Sementara satu gol dihasilkan masing-masing oleh Muhammad Azami Adabi (25'), Muhammad Aminudin Mat Zin (23'), Amir Farid Ahmad Fuzi (37'), Azlan Misron (67') dan Ahmad Kazamirul Nasrudin Jamaludin pada minit ke-69.
Selepas perlawanan itu, Beng hai berkata kemenangan itu memang sudah dijangkakan dan mahu anak buahnya mengekalkan momentum pada perlawanan seterusnya.
"Yang penting kita meraih tiga mata dan kita perlu konsisten selepas ini untuk memastikan laluan ke final lebih mudah," katanya.
Skuad negara dijadualkan menentang Thailand esok diikuti Singapura pada Rabu dan melengkapkan jadual pusingan awal dengan bertemu pasukan tuan rumah, Myanmar, Khamis ini.