Skuad hoki 5s wanita tewaskan New Zealand, rebut tempat kelima dengan Uruguay
Bernama
Januari 27, 2024 14:50 MYT
Januari 27, 2024 14:50 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lima sebelah (5s) wanita negara menundukkan New Zealand 5-3 dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 (Wanita) di Muscat, Oman, semalam.
Skuad negara akan membuat perhitungan dengan Uruguay bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam hari ini.
Nur Zafirah Aziz muncul wira apabila meledak dua gol pada minit pertama dan minit ke-25, manakala tiga lagi jaringan dihasilkan Ellya Syahirah Ellias (minit ke-5), Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (minit ke-14) dan Nurul Safiqah Mat Isa di penghujung perlawanan.
Tiga gol New Zealand disumbangkan oleh Oriwa Hepi pada minit keempat dan penghujung perlawanan serta Leah Arthur-Worsop pada minit ke-26.
Pengendali skuad kebangsaan Nabil Fikri Mohd Noor menyifatkan bukan mudah untuk anak buahnya bangkit selepas tumpas 4-6 kepada Afrika Selatan pada aksi suku akhir semalam, tetapi barisan pemain berjaya mempamerkan satu persembahan yang baik menentang New Zealand.
"Pemain telah menunjukkan satu semangat yang tinggi dalam perlawanan ini kerana kami mempunyai objektif pada perlawanan klasifikasi iaitu untuk mendapatkan tempat yang paling baik," katanya.
Sementara itu, Uruguay mengatasi Ukraine 5-3 dalam satu lagi perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, semalam.
Malaysia membuka tirai kempen kejohanan dengan membelasah tuan rumah 10-0 pada 24 Jan lepas, sebelum giliran skuad kebangsaan dibelasah jumlah jaringan sama oleh Belanda pada hari sama dan diikuti seri 4-4 dengan Fiji, sehari kemudian.
-- BERNAMA
#Skuad hoki lima sebelah 5s wanita
#Malaysia
#tundukkan New Zealand
#Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 Wanita