Skuad futsal wanita negara mara ke separuh akhir AFC 2015

Astro Arena
September 23, 2015 03:09 MYT
Malaysia meraih kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong semalam dalam aksi Kumpulan A untuk mengulangi kejayaan meratah Uzbekistan 9-4 dalam aksi pertama. - Foto the-afc.com
Pasukan wanita negara muncul pasukan pertama yang layak ke separuh akhir Kejuaraan Futsal Wanita AFC.
Malaysia meraih kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong semalam dalam aksi Kumpulan A untuk mengulangi kejayaan meratah Uzbekistan 9-4 dalam aksi pertama.
Menyedari kemenangan akan mencerahkan peluang mereka ke babak empat pasukan terbaik, Malaysia bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan Wong So Han pada minit ke-15.
Namun Malaysia berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas Kwong Wing Yan tertampan bola ke gawang sendiri untuk mengikat kedudukan satu sama.
Bagaimanapun Malaysia berjaya memperbaiki permainan untuk menguasai perlawanan pada babak kedua.
Keampuhan benteng Hong Kong akhirnya terlerai apabila Fatin Shahida menyumbat gol kedua Malaysia pada minit ke-30.
Beberapa minit selepas itu Farahiyah Ridzuan mengukuhkan kedudukan negara apabila menjaringkan dua gol untuk melengkapkan kemenangan negara.
#afc #futsal #Malaysia #Separuh Akhir #wanita