Skuad berbasikal trek negara uji jentera WX-R Vorteq versi baharu

Bernama
Julai 18, 2024 06:40 MYT
Tiga pelumba negara kini sedang membiasakan diri dengan jentera yang telah dinaik taraf di Velodrom Illes Balears di Mallorca, Sepanyol. - Foto Facebook/Azizulhasni
KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek kebangsaan mendapat suntikan dalam perjuangan membutirkan emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mendapat basikal baharu WX-R Vorteq versi terkini yang dibawa khas dari United Kingdom (UK).
Tiga pelumba negara - Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri - kini sedang membiasakan diri dengan jentera yang telah dinaik taraf di Velodrom Illes Balears di Mallorca, Sepanyol.
Juara dunia keirin 2017, Mohd Azizulhasni yang membuat penampilan kelimanya di pentas Olimpik berkata ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan terbaik dan berazam untuk meraih kejayaan bersama jentera terbaru mereka itu.
"Kami sangat bersyukur kerana dapat menggunakan jentera baharu di Mallorca. Secara peribadi setelah memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, saya menyasarkan untuk mencapai kemuncak.
"Walaupun akan ada tentangan sengit daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain, saya percaya saya setanding dengan mereka, terutamanya sekarang kita dilengkapi dengan versi jentera yang dinaik taraf.
"Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Olimpik untuk Malaysia," katanya dalam catatan menerusi media sosial Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Khamis.
Pelumba berusia 36 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakarian, Jawatankuasa Road to Gold (RTG), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atas bantuan mereka selama ini termasuk basikal baharu yang dilaporkan berharga RM385,800 setiap satu.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan OIimpik Paris 2024 (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ketiga-tiga pelumba negara itu sangat teruja dan bersemangat menjelang acara mereka.
"Selain berkongsi kata-kata semangat sebelum mereka berlepas ke Paris, saya diberi taklimat penuh mengenai status persediaan mereka di kem latihan. Peluang untuk berlatih menggunakan jentera WX-R Vorteq baharu telah memberi mereka dorongan yang sangat diperlukan," katanya dalam catatan sama.
Muhammad Shah Firdaus yang akan membuat penampilan kedua selepas Tokyo 2020 dan kemunculan sulung Nurul Izzah Izzati, juga tidak sabar-sabar untuk mempamerkan aksi terbaik mereka apabila acara berbasikal trek membuka tirai pada 7 Ogos di Velodrom Nasional di St Quentin-en-Yvelines.
The Pocket Rocketman dan The Terminator akan memulakan kempen dalam acara pecut lelaki pada 7 Ogos manakala keirin berlangsung pada 10 Ogos, manakala Nurul Izzah Izzati pula turun dalam acara keirin wanita pada 7 Ogos diikuti pecut pada 9 Ogos.
Menurut MOM, skuad berbasikal trek akan meneruskan latihan mereka di Mallorca sebelum menyertai kontinjen negara di perkampungan sukan di St Denis, Paris pada 1 Ogos.
-- BERNAMA
#Majlis Olimpik Malaysia #Sukan Olimpik Paris 2024 #media sosial #Road to Gold
;