Skuad berbasikal trek mahu capai kemuncak prestasi di Tokyo
Bernama
Julai 9, 2019 19:57 MYT
Julai 9, 2019 19:57 MYT
Skuad berbasikal trek negara mengambil langkah berhati-hati dalam merencana program dan pelan latihan bagi memastikan pelumba mencapai tahap kemuncak prestasi ketika berlangsung Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata pada masa ini, pelumba negara menyertai beberapa siri perlumbaan Grand Prix (GP) dan Kelas 1 di Eropah sebagai medan pemanas badan serta menguji taktik perlumbaan.
Selain itu, beliau berkata penyertaan di perlumbaan tersebut bertujuan memastikan pelumba negara berada di landasan tepat untuk terus mengumpul mata kelayakan ke siri Piala Dunia 2019 yang akan bermula November ini.
"Untuk ke Piala Dunia tidak ada masalah, mata semua dah okay dan kami hanya kena kekalkan sahaja. Tujuan utama masuk GP dan Kelas 1 ini untuk kekalkan mata dan medan latihan untuk latihan perlumbaan. Insya-Allah ada dua atau tiga lagi GP atau Kelas 1 yang kami akan sertai sebelum bermula Piala Dunia.
"Kami berada di landasan tepat, di mana kami mahu berada sekarang. Buat masa ini, kami masih cuba memperkukuhkan asas sebelum memfokuskan kepada sebarang latihan khusus.
"Misi utama adalah untuk mencapai tahap kemuncak prestasi di Sukan Olimpik, Tokyo nanti, jadi kena berhati-hati dengan program latihan dan pelan latihan," katanya kepada Bernama.
Selepas hampa pada Grand Prix von Deutschland 2019 di Jerman, skuad berbasikal trek negara tampil cemerlang di Kejohanan Trek Antarabangsa Dublin di Ireland baru-baru ini, dengan masing-masing satu pingat perak menerusi Mohd Azizulhasni, manakala Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyumbang gangsa.
Mohd Azizulhasni yang diberi jolokan 'The Pocket Rocketman' tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Jason Kenny dari Great Britain dalam aksi final acara pecut lelaki untuk meraih pingat perak manakala Muhammad Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di tempat ketiga acara keirin lelaki.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis pula menduduki tempat ke-10 dalam acara keirin dan tempat ke-13 dalam acara pecut.
Pelumba wanita negara Anis Amira Rosidi pula gagal menyerlah apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam acara keirin wanita dan kedudukan ketujuh selepas mencatat 12.319 saat dalam acara pecut wanita.
Skuad negara dijangka menyertai beberapa siri perlumbaan kelas 1 di Eropah sebelum kembali ke Malaysia bagi menyertai Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara (22 dan 23 Ogos), selain Kejohanan Trek Kebangsaan (25 dan 26 Ogos) di Velodrom Nilai, serta Grand Prix Beijing (30 dan 31 Ogos).
Seterusnya, mereka akan menghadapi kejohanan lebih tinggi seperti Kejohanan Trek Asia dan siri Piala Dunia 2019.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang
#Grand Prix
#olimpik 2020
#Olimpik Tokyo
#pelumba basikal negara
#skuad berbasikal trek
#sukan berbasikal