Skuad berbasikal para sambar dua emas dan dua perak di India
Bernama
Februari 22, 2024 23:53 MYT
Februari 22, 2024 23:53 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad para negara mempamerkan persembahan cemerlang untuk menghadiahkan dua pingat emas serta dua pingat perak dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki dan wanita B tandem pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2024 di New Delhi, India hari ini.
Dua pingat emas itu hadir menerusi kayuhan pantas Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu Muhd Arfy Qhairant Amran, dengan catatan 1 minit 06.256 saat (s) menerusi kategori lelaki, manakala Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang dibantu Farina Shawati Mohd Adnan merekodkan 1:13.350s, menurut laman sesawang https://atresults2.wixsite.com/attiming/acct2024.
Ahmad Ahlami Mohamad yang dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol pula meraih perak bagi kategori lelaki, selepas merakamkan 1:07.362 manakala Nur Suraiya Muhamad Zamri yang dibantu Nurul Suhada Zainal mencatatkan 1:14.486s untuk memenangi perak bagi saingan wanita.
Pelumba Thailand Watcharobon Boonmalert yang dibantu Kanyarat Kesthonglang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa kategori wanita selepas mencatatkan 1:18.566s.
Tiada pemenang gangsa bagi kategori lelaki apabila hanya dua pesaing didaftarkan dalam saingan berkenaan.
-- BERNAMA