Skuad badminton negara mahu lakar kecemerlangan di Rio

Astro Arena
Julai 31, 2016 22:21 MYT
Skuad badminton negara menjadi kumpulan pertama yang mengadakan sesi latihan awal di venue pertandingan di Barra.
MISI untuk meraih pingat daripada pasangan beregu badminton mampu direalisasikan selepas kesemua beregu lelaki, wanita dan campuran mempamerkan kesungguhan tinggi sebaik tiba di Rio.
Kesungguhan itu terpancar daripada barisan pemain negara dalam sesi latihan pertama mereka di Rio dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan walaupun agak keletihan akibat penerbangan yang jauh.
Skuad badminton negara menjadi kumpulan pertama yang mengadakan sesi latihan awal di venue pertandingan di Barra.
Komitmen awal ini melegakan jurulatih beregu negara, Jeremy Gan, yang begitu yakin anak buahnya mampu melunas harapan pingat tanpa mengira warna dalam acara beregu, sama ada daripada beregu lelaki, wanita mahupun beregu campuran.
"Kami ada masa untuk menilai prestasi pemain di sini kerana kami sudah tahu siapa pihak lawan yang menanti," ujarnya.
Menurut Jeremy, barisan pemain menyedari tanggungjawab yang digalas walaupun berdepan undian agak sukar di peringkat kumpulan.
Tetapi itu bukan halangan buat Jeremy jika kesemua beregu negara yang layak secara merit mampu serius memburu kecemerlangan buat sukan badminton negara.
"Pemain perlu ada rasa tanggungjawab untuk menyumbangkan sesuatu untuk negara. Mereka juga sedar mereka diundi berdepan lawan yang agak mencabar, jadi penting untuk mereka memberikan segala-galanya nanti," tambahnya.
Dalam pada itu, pemain beregu negara, Goh V Shem, mahu memastikan kemaraan daripada saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum memasang impian meraih pingat di Rio.
V Shem yang berpasangan dengan Tan Wee Kiong dalam saingan beregu lelaki, berasa mereka mendapat undian lebih seimbang dalam Kumpulan B, berbanding kumpulan lain.
Gandingan Fu Haifeng-Zhang Nan dari China adalah lawan terkuat buat pasangan Malaysia itu di peringkat kumpulan.
"Undian nampak baik untuk kami kecuali gandingan China, harap-harap kami dapat layak ke suku akhir," ujarnya.
V Shem, yang turut berasa keserasian dirinya dan Wee Kiong sebelum ke Rio bertambah baik, berharap peningkatan mereka berterusan di Rio dalam usaha menyumbang pingat buat kontinjen negara.
"Kami menjalani latihan yang giat untuk memastikan tiada kesilapan dibuat.
"Kami juga berlatih bagi memperkuatkan pukulan di udara kerana itu juga amat penting," tambahnya.
#badminton #beregu #jeremy gan #Olimpik Rio #Rio 2016 #skuad negara
;