Skuad B-23 kurang cergas - O' Donell

Bernama
April 24, 2024 19:05 MYT
Skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu menamatkan kempen dengan menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan D selepas tewas kesemua tiga perlawanan. - Foto Facebook Football Association of Malaysia
KUALA LUMPUR: Aspek kecergasan perlawanan menjadi penyebab utama pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara gagal memberikan saingan terbaik pada kempen Piala Asia B-23 yang sedang berlangsung di Qatar, menurut Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O'Donell.
Skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu menamatkan kempen dengan menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan D selepas tewas kesemua tiga perlawanan berdepan Uzbekistan (02), Vietnam (0-2) dan melengkapkan aksi kumpulan dengan kekalahan 1-2 kepada Kuwait.
O'Donell menyifatkan kekurangan masa permainan atau jumlah perlawanan dimiliki pemain terbaik skuad Harimau Muda menjadi punca utama mereka pulang tanpa sebarang mata dari kejohanan disertai 16 pasukan terbaik Asia.
"Jika kita lihat menerusi statistik, tak ramai pemain dalam skuad ini yang mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super musim lalu.
"Hanya empat pemain, penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dengan 2,250 minit bersama Negeri Sembilan FC, Mukhairi Ajmal dengan 1,684 minit bersama Selangor FC, T. Saravanan dengan 1,252 minit bersama Kuala Lumpur City dan Safwan Mazlan dengan 1,063 minit bersama Terengganu FC," katanya menerusi kenyataan yang dikongsi FAM hari ini.
Katanya, ditambah pula dengan peralihan masa Liga Malaysia (Liga-M) menjadikan pemain negara berehat panjang sejak Januari sementara menantikan musim baharu 2024/25 bermula 10 Mei depan menyumbang kepada kesan lebih teruk terhadap aspek kecergasan perlawanan.
Oleh itu, O'Donell menegaskan supaya FAM melihat semula kepada penstrukturan pertandingan peringkat bawah umur di negara ini agar para pemain muda memperoleh perlawanan yang lebih kompetitif.
Beliau turut berharap agar skuad B-23 negara menggunakan jendela antarabangsa FIFA dengan lebih baik pada masa akan datang.
"Kita perlu memberikan mereka lebih pendedahan antarabangsa untuk bermain sebagai satu pasukan menentang pasukan B-23 kebangsaan negara lain dan bukan hanya menyediakan pasukan kita sebelum kejohanan B-23 seperti AFC dan Sukan SEA.
"Jika kita tidak dapat mengaturkan perlawanan persahabatan antarabangsa B-23 pun, kita sekurang-kurangnya boleh mengadakan kem latihan untuk memberi peluang kepada jurulatih lebih mendekati pemain pada setiap jendela antarabangsa FIFA," katanya.
O'Donell berkata beliau bersama-sama Garrido akan menyediakan laporan lengkap Piala Asia B-23 2024 untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM.
-- BERNAMA
#skuad Bawah 23 tahun #harimau muda #Piala Asia B-23 #Scott O'Donell
;