Skuad B-23 KDA FC dijangka galas tugas menentang KL City Sabtu ini
Bernama
September 12, 2024 10:15 MYT
September 12, 2024 10:15 MYT
ALOR SETAR: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka akan menggalas tugas dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, Sabtu ini.
Ketua Jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Zain berkata ia berikutan barisan pemain dari skuad utama tidak menghadiri sesi latihan yang diadakan sejak beberapa hari lalu
"Dalam perlawanan menentang KL City nanti, Skuad B-23 yang akan beraksi, persiapan dan latihan telah mula dilakukan sejak Selasa lalu...tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam baki dua hari ini sebelum perlawanan berlangsung.
"Dengan tempoh persiapan dan latihan yang singkat, kita akan menerima apa sahaja keputusan yang akan berlaku selepas ini. Kita tidak boleh menjangkakan apa-apa kerana ada di antara mereka yang baru sahaja selesai berehat selepas menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum mula kembali berlatih," katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau ditemui semasa perlawanan persahabatan antara Skuad B-23 KDA FC dan pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah yang diadakan di padang bola Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
SUKAN-KDA FC 2 (AKHIR) ALOR SETAR
Dalam pada itu, Mohd Nafuzi berkata perlawanan persahabatan itu diadakan bagi membolehkan dia dan barisan kejurulatihan menilai dan melihat pemain-pemain Skuad B-23 yang sesuai dan layak untuk bermain menentang KL City nanti.
"Kita buat persediaan dengan baik, barisan kejurulatihan juga berusaha dengan terbaik dan kita lakukan yang terbaik dengan kualiti yang ada, kerana ini sahaja pemain yang kita ada sekarang.
"Mengenai barisan pemain skuad utama, semua sudah sedia maklum tentang situasi semasa. Namun, saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana kesannya terlalu besar terhadap pasukan Kedah," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tiada pemain utama skuad Sang Kenari yang turun menjalani latihan setakat ini dan difahamkan ia melibatkan isu tunggakan gaji yang melanda KDA FC sejak beberapa bulan sebelum ini.
Beberapa pemain turut meluahkan kekecewaan mereka di media sosial selepas menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan mereka terbeban dan tidak dapat hadir menjalani latihan.
-- BERNAMA