Skuad B-20 wanita: Beri yang terbaik - Hamidin
Bernama
Februari 23, 2023 15:36 MYT
Februari 23, 2023 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin Hamidin mengingatkan skuad bola sepak wanita Bawah 20 Tahun (B-20) yang bakal membawa cabaran Malaysia pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-20 2024 di Kemboja, Mac ini supaya melakukan yang terbaik.
Hamidin berkata komitmen serta kesungguhan setiap pemain ketika latihan dan perlawanan adalah kunci kepada kejayaan pasukan yang akan menggalas cabaran negara pada pusingan kelayakan kejohanan yang akan berlangsung di Phnom Penh dari 8-12 Mac.
"Tiada apa yang mustahil, jadi berikan terbaik di Phnom Penh dan saya doakan kejayaan mengiringi perjalanan skuad Malayan Tigress B-20," kata Hamidin menerusi hantaran di Facebook FAM.
Hamidin meluangkan masa untuk bertemu barisan 25 pemain skuad Malayan Tigress B-20 kendalian Cameron Ng selepas tamat perlawanan persahabatan tertutup menentang SSS Leopards di Padang Wisma FAM di Kelana Jaya, petang semalam.
Antara yang hadir menyaksikan perlawanan di Padang Wisma FAM ialah Exco FAM merangkap Pengerusi Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob, Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon dan Ketua Jurulatih Malayan Tigress Soleen Al-Zoubi.
Pada pusingan kelayakan di Phnom Penh, Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama tuan rumah dan Myanmar dengan hanya juara layak ke pusingan kedua.
-- BERNAMA