Skuad B-16 mampu 'takluk' Yogyakarta
Bernama
Julai 22, 2022 16:13 MYT
Julai 22, 2022 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas menjuarai peringkat Bawah 19 Tahun (B-19), Malaysia berpotensi mengulangi pencapaian sama pada Kejohanan Bawah 16 Tahun (B-16) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Yogyakarta, Indonesia yang akan bermula dari 31 Julai hingga 12 Ogos ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keyakinan itu berdasarkan skuad bimbingan Osmera Omaro yang memiliki kelompok pemain muda terbaik negara, selain dikendalikan barisan kejurulatihan berpengalaman.
Katanya kombinasi antara pemain dan barisan kejurulatihan cukup untuk membolehkan pasukan mara lebih jauh dalam kejohanan itu sehingga ke pentas final.
"Jika berjaya muncul juara, ia sesuatu yang bagus kerana ini antara pasukan masa depan kita. Kalau kita nak pergi ke peringkat ke lebih tinggi, kita perlu meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi FAM hari ini.
Terdahulu, Hamidin menyampaikan amanat kepada semua pemain dan pegawai skuad B-16 kebangsaan dalam satu pertemuan yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell dan Pengurus Pasukan Christopher Raj di Wisma FAM, pagi ini.
Pada Kejohanan B-16 AFF, pasukan muda negara akan bertemu Kemboja pada 2 Ogos, Myanmar (5 Ogos) dan Australia pada 8 Ogos dalam saingan Kumpulan C.
Sebagai rekod, skuad B-19 kebangsaan bimbingan Hassan Sazali Mohd Waras dinobatkan sebagai juara Kejohanan B-19 AFF 2022 selepas mengatasi Laos 2-0 di final 15 Julai lepas di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia.
-- BERNAMA