Skuad B-16 belasah Timor-Leste 5-0
Bernama
Jun 23, 2024 05:30 MYT
Jun 23, 2024 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan memulakan kempen Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 dengan bergaya selepas membelasah Timor-Leste 5-0 pada aksi pertama Kumpulan C di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia malam tadi.
Skuad bimbingan Javier Jorda Ribera itu mendahului 1-0 pada menerusi jaringan Izzuddin Afif Nazarudin pada minit ke-35 sebelum berjaya mencetak empat lagi gol pada separuh masa kedua.
Muhammad Fahmi Nor Farizamal menggandakan kedudukan pada minit ke-55 diikuti Muhammad Awal Wafiy Ahmad Syukri (minit ke-66) dan Arayyan Hakeem Norizam (minit ke-78) sebelum Muhammad Awal melengkapkan pesta gol pasukan negara dengan jaringan pada minit ke-89.
Skuad B-16 kebangsaan selepas ini akan bertemu Australia di venue sama Rabu depan sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Thailand pada Sabtu di Stadium Manahan.
Terdahulu, Thailand dan Australia seri tanpa jaringan pada satu lagi aksi.
Juara setiap kumpulan serta satu naib juara kumpulan terbaik layak ke separuh akhir pada 1 Julai, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada 3 Julai.
-- BERNAMA