SKSMC taja Nur Athirah ke Kejohanan Muaythai Dunia 2021

Bernama
Disember 6, 2021 05:45 MYT
Nur Athirah akan menentang Bella Durandina daripada Persekutuan Muaythai Rusia pada Selasa. - Foto Facebook/Sri Kota Specialist Medical Centre
KUALA LUMPUR: Atlet Muay Thai negara Nur Athirah Bidin menerima tajaan RM20,000 daripada Sri Kota Specialist Medical Centre (SKSMC) sebagai galakan dalam penyertaannya pada Kejohanan Muaythai Dunia 2021 di Thailand.
Nur Athirah yang akan memulakan kempennya di bawah kategori elit wanita bawah 23 tahun (45 kg), menentang Bella Durandina daripada Persekutuan Muaythai Rusia hari ini, berterima kasih atas tajaan itu dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai sukan tempur itu.
"Ini benar-benar impian menjadi kenyataan, dan terima kasih kepada SKSMC kerana menaja perjalanan saya dan keperluan lain untuk bertanding di Bangkok. Saya juga gembira menjadi duta untuk menggalakkan belia dan remaja menjadi atlet Muay Thai.
"Sukan ini menyihatkan badan dan boleh meningkatkan kesihatan mental kita untuk menghadapi cabaran yang mendatang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Pengurus Operasi SKSMC Emily Lim berkata pusat perubatan itu berbesar hati dapat menjadikan Nur Athirah sebagai duta mudanya untuk menjangkau dan memotivasikan belia mencapai impian mereka menerusi sukan Muay Thai dan kecergasan secara amnya.
Menurut kenyataan itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Faizal Azumu yang menyaksikan penyampaian tajaan itu baru-baru ini berharap usaha itu akan diteruskan antara kedua-dua pihak ke arah pembinaan negara.
Kejohanan Muaythai Dunia 2021 berlangsung hingga 12 Dis di Stadium Nasional Bangkok, dengan penyertaan dari 91 negara.
-- BERNAMA
#Nur Athirah Bidin #Tajaan #Atlet Muay Thai #Kejohanan Muaythai Dunia
;