Skandal FIFA: Ketua bola sepak Australia berkata bidaan Piala Dunia 2022 'tidak bersih'

AFP
Jun 3, 2015 19:10 MYT
Pengerusi Persekutuan Bola Sepak Australia, Frank Lowy dalam surat terbukanya menyatakan bahawa saingan untuk bidaan Piala Dunia 2022 adalah tidak bersih.
Pengerusi Persekutuan Bola Sepak Australia, Frank Lowy berkata saingan untuk bidaan tuan rumah Piala Dunia 2022 adalah ‘tidak bersih’.
Dalam surat terbukanya pada Rabu, Frank menyatakan bahawa beliau tidak gentar untuk mengongsikan apa yang diketahuinya kepada pihak berkuasa.
“Kami membuat bidaan yang bersih, dan saya tahu bahawa yang lain tidak. Saya telah memaklumkan pihak berkuasa termasuklah Michael Garcia yang sedang dalam siasatan dua tahun terhadap proses bidaan Piala Dunia 2022,” ujarnya.
Australia sebelum ini bersaing dengan Qatar, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan untuk menjadi tuan rumah kejohanan pada tahun 2022. Namun peluang itu diberikan kepada Qatar.
Meskipun melabur lebih daripada AUS40 juta (RM114.5 juta) semasa membida, Australia hanya memperoleh satu undian. Frank yang juga merupakan pengasas dan ketua empayar membeli-belah global, Westfield merasakan itu sebagai satu penghinaan.
“Sejak 2 Disember 2010, secara peribadinya saya telah merubati kedukaan apabila Australia hanya menerima satu undian dalam bidaan Piala Dunia,” jelasnya tanpa menerangkan apakah bukti yang dimiliki mengenai korupsi yang diperkata.
“Kami berbangga kerana membuat bidaan yang bersih namun ia bukanlah satu persaingan yang adil. Atas sebab itu, kami tidak menang. Saya akan sentiasa kecewa dengan keputusan itu, " tambahnya.
Komen beliau menjurus kepada dua siasatan berasingan oleh pihak berkuasa Amerika dan Switzerland ke atas dakwaan rasuah yang berleluasa dan sudah lama berlaku dalam dalam organisasi FIFA.
Minggu lalu, beberapa pegawai atasan FIFA ditahan dalam sebuah serbuan di Zurich. Mereka didakwa menerima rasuah bernilai puluhan juta dolar oleh para penyiasat dari Amerika Syarikat.
Berikutan itu, Sepp Blatter mengumumkan perletakkan jawatannya pada Selasa selang beberapa hari dilantik semula sebagai presiden FIFA buat kali kelima.
Pada masa yang sama, salah satu penyiasat sedang mengkaji penganugerahan tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022 kepada Rusia dan Qatar.
Australia mengejutkan banyak pihak apabila bersama-sama Persekutuan Bola Sepak Asia pada minggu lalu mengundi menentang Sepp.
Walaupun sebelum ini Frank dan Sepp adalah rakan sekutu, namun hartawan itu menyentuh bahawa peristiwa baru-baru ini telah menjadi titik perubahan untuk badan dunia sukan.
“Peletakan jawatan Sepp Blatter seharusnya membuka lembaran baru bagi pembaharuan yang besar, " katanya.
#FIFA #Frank Lowy #Piala Dunia 2022 #Sepp Blatter #World Cup 2022
;