Sivasangari tewaskan Aifa untuk ke separuh akhir Kejoihanan Asia

Bernama
Jun 8, 2023 22:32 MYT
Pemain asal dari Kedah itu menang dengan 12-10, 12-14,12-10, 11-7 dalam satu perlawanan suku akhir yang sengit selama 43 minit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy kebangsaan S. Sivasangari mengetepikan cabaran rakan senegara Aifa Azman untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia di Hong Kong, hari ini.
Pemain berasal dari Kedah berusia 24 tahun itu, menang dengan 12-10, 12-14,12-10, 11-7 dalam satu perlawanan suku akhir yang sengit berlangsung selama 43 minit.
Bagaimanapun Sivasangari akan berhadapan laluan sukar di separuh akhir apabila dijadualkan untuk berhadapan pemain pilihan pertama kejohanan dari Jepun Satomi Watanabe, yang dengan mudah mengalahkan pemain tuan rumah Tong Tsz Wing, 11-5, 11-4, 11-7.
Juara bertahan Rachel Arnold pula tersekat di suku akhir, kerana walaupun menang set pertama 13-11, namun beliau tewas tiga set seterusnya 10-14,4-11, 7-11 kepada seorang lagi pemain tuan rumah Chan Sin Yuk.
Kategori lelaki pula menyaksikan juara bertahan dan pemain pilihan pertama Ng Eain Yow, layak ke separuh akhir selepas mengalahkan seorang lagi pemain negara Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-3, 11-4, 11-4 dalam masa 25 minit di suku akhir.
Pemain 25 tahun itu akan berhadapan Henry Leung Chi Hin dari Hong Kong, yang menewaskan rakan senegaranya Wong Chi Him 11-5, 11-3, 6-11, 11-7 dalam perlawanan hampir satu jam.
Seorang lagi pemain negara Ivan Yuen juga layak ke separuh akhir selepas menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah Tang Ming Hong 14-12, 11-5, 11-8 dan akan berhadapan S. Velavan dari India, esok.
-- BERNAMA
#S Sivasangari #Aifa Azman #Skuasy #kejohanan asia
;