Situasi Lang Merah memalukan! - Azraai

Astro Arena
Mei 17, 2020 08:44 MYT
Azraai mempersoalkan hala tuju Lang Merah yang dilihat tidak seimbang daripada segi merekrut pemain. - Foto Astro ARENA
MEMALUKAN! Itu tegas bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah, berhubung situasi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih skuad Lang Merah gara-gara krisis politik di negeri itu.
Status pasukan Hijau Kuning itu selaku pasukan elit Liga Malaysia (Liga-M) tercemar gara-gara isu gaji tertunggak.
Membabitkan gaji sejak Februari lalu, pemain serta pegawai pasukan utara itu hilang sumber pendapatan menjelang Aidilfitri.
Situasi bertambah rumit apabila bakal berlaku perubahan pucuk kepimpinan KFA susulan isu politik di negeri itu.
"Bagi saya (perkembangan) ini sungguh memalukan. Kedah tiada sejarah langsung dengan masalah gaji.
"Ini kali pertama (berlaku), memang sangat memalukan," katanya ketika diwawancara wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Bahkan, jurulatih berumur 68 tahun itu turut mempersoalkan hala tuju Lang Merah yang dilihat tidak seimbang daripada segi merekrut pemain.
"Beberapa pemain import yang diambil sekadar duduk di bangku simpanan.
"Mengapa Kedah tidak ketengahkan pemain-pemain muda sebagai tujuan pembangunan, seperti (formula) kejayaan memenangi tiga kejuaraan dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum ini, naikkan (status) pemain B-21.
"Ketika itu, kami menggunakan khidmat rata-rata anak jati dan pemain pelapis.
"Tidak mengapa kalau ingin ambil pemain matang, tetapi ia tidak menjadi.
"Ia satu pembaziran, perancangan Kedah nampaknya gagal."
#Aidilfitri #Azraai Khor Abdullah #bekas jurulatih #gaji #hilang sumber pendapatan #jurulatih #Kedah #KFA #pemain #Persatuan Bolasepak Kedah #perubahan pucuk kepimpinan #politik #tunggakan gaji
;