Siti Zulaikha kembali sertai Olimpiad 2022 selepas 14 tahun bersara

Bernama
Julai 14, 2022 15:45 MYT
Pemain catur berusia 34 tahun itu merupakan antara 10 pemain yang bakal membawa cabaran negara di Kejohanan Olimpiad 2022 di Chennai, India bermula 28 Julai sehingga 10 Ogos ini. - bcwmcf.blogspot.com
KUALA LUMPUR: Pemegang gelaran Women International Master (WIM) Siti Zulaikha Foudzi akan kembali beraksi di pentas dunia catur, setelah 14 tahun bersara dalam sukan itu.
Pemain catur berusia 34 tahun itu merupakan antara 10 pemain yang bakal membawa cabaran negara di Kejohanan Olimpiad 2022 di Chennai, India bermula 28 Julai sehingga 10 Ogos ini.
Ketua delegasi pasukan negara Muhammad Firdaus Ismail berkata meskipun Siti Zulaikha berpotensi menjadi sandaran untuk memegang gelaran Grandmaster di pentas beprestij itu, namun pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi melihat kepada faktor atlet itu yang sudah lama meninggalkan dunia catur.
"Beliau baru nak buat penampilan semula pada kejohanan kali ini sejak bersara, jadi agak sukar untuk letak sasaran mendapat gelaran Grandmaster, tetapi dia antara pemain Malaysia yang terkuat yang kita ada," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Selain Siti Zulaikha, seorang lagi pemegang WIM, Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar, Women Fide Master (WFM) Puteri Rifqah Fahada Azhar, Sim Ja Ru dan Agnes Chong akan turut mewakili skuad wanita beraksi di kejohanan itu manakala Wong Yin Lonh, Fide Master (FM) Lim Zhuo Ren, Poh Yu Tian, Lye Lik Zhang dan Tan Jun Ying bagi pasukan lelaki.
Muhammad Firdaus berkata tiada sasaran diletakkan di bahu skuad kebangsaan, sebaliknya mereka diharap dapat meningkatkan kedudukan dalam perlawanan.
"Jadi sasaran hanya untuk pasukan mendapatkan tempat lebih baik dari segi kedudukan, setidak-tidaknya yang terbaik antara negara-negara ASEAN," katanya.
Skuad catur negara bakal berangkat ke India pada 27 Julai ini.
Pasukan Malaysia hanya mampu mara hingga ke Divisyen 2 dalam kejohanan Online Olimpiad 2021 yang dianjurkan China tahun lepas.
Malaysia tidak pernah terlepas beraksi di pentas kejohanan Olimpiad sejak kejohanan ke-21 di Perancis pada 1974, kecuali apabila Israel menjadi tuan rumah pada 1976.
-- BERNAMA
#Siti Zulaikha Foudzi #olimpiad 2022 #India #wakil negara
;