Siti Zalina sedia untuk 'berperang'
Bernama
April 4, 2018 13:50 MYT
April 4, 2018 13:50 MYT
Atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad yakin persiapan yang dilakukan bagi menghadapi saingan di Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia sudah mencukupi.
"Saya dan rakan-rakan berada dalam tahap bersedia dan apa saya boleh katakan ialah persediaan kami kali ini adalah yang paling teratur pernah kami buat. Untuk diri saya sendiri, persiapan sudah cukup, tinggal tunggu masa untuk 'berperang'," katanya.
Siti Zalina, 38, secara peribadinya mahu memadam episod duka di Glasgow, Scotland pada 2014 apabila beliau gagal memberikan saingan selepas berehat sementara daripada sukan kesayangannya itu.
Atlet kelahiran Perak itu pernah menyumbang emas dalam acara perseorangan di Manchester pada edisi 2002 dan Melbourne 2006 sebelum terkandas di peringkat separuh akhir di Delhi 2010.
"Saya pernah bersara sekejap daripada boling padang dan kemudian kembali sertai pasukan untuk ke Glasgow. Masa itu saya sendiri tahu diri saya hanya boleh pergi bertanding tapi untuk beri saingan memang saya tidak yakin.
"Daripada apa yang dimaklumkan, kami datang sini untuk memperbaiki edisi lepas (yang sekadar meraih) dua pingat perak. Kali ini kita hendak baiki rekod tersebut.
"Semua pemain dalam setiap acara telah bagi komitmen sepenuhnya," katanya yang membuat penampilan keenam pada temasya empat tahun sekali itu.
Siti Zalina akan berpasangan dengan Emma Firyana Saroji dalam acara pairs di samping bergandingan dengan Azlina Arshad, Auni Fathiah Kamis dan Nur Fidrah Noh bagi acara fours.
Skuad wanita negara dijangka berdepan Brunei Darussalam dalam acara berpasangan manakala bagi acara fours pula, pemain negara akan berdepan Namibia pada pusingan pertama diikuti Cook Island pada pusingan kedua.
Ditanya mengenai peluang skuad boling padang negara pada edisi 2018 ini, Siti Zalina berkata berdasarkan ranking semasa dunia, pasukan Malaysia dijangka memberi saingan hebat kepada Scotland, England, New Zealand dan tuan rumah, Australia.
"Apa pun yang penting adalah prestasi semasa hari bertanding nanti," katanya.
Skuad boling padang negara telah berada di Gold Coast sejak dua bulan lepas bagi membiasakan diri dengan keadaan cuaca dan juga venue pertandingan di Broadbeach Bowls Club.
Acara boling padang akan berlangsung pada 5 hingga 13 April.
-- BERNAMA
#Australia
#boling padang
#Gold Coast
#Malaysia
#MAnchester
#Melbourne
#Scotland
#Siti Zalina Ahmad
#Sukan Komanwel