Siti Nurhaliza tak perlu risau, final Piala Malaysia sudah atasi Coldplay
Astro Arena
Disember 9, 2023 12:07 MYT
Disember 9, 2023 12:07 MYT
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mungkin tidak perlu bimbang lagi berikutan rekod kehadiran konsertnya diatasi Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bulan lalu.
Sebelum ini, konsert Music Of The Spheres World Tour kumpulan British itu mencatatkan kehadiran 75,000 penonton, sekali gus mengatasi rekod 19 tahun yang dipegang Siti Nurhaliza dengan 70,000 penonton hadir menyaksikan konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour di venue sama pada 2004.
Bagaimanapun, kehadiran penonton sewaktu perlawanan final Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu di SNBJ malam tadi mencatatkan kehadiran penyokong yang jauh lebih tinggi, iaitu seramai 80,550 orang penonton didaftarkan.
Sebagai rekod, JDT muncul juara Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan Terengganu 3-1, sekali gus mempertahankan kesemua empat trofi yang dimenangi musim lalu dan mencipta sejarah 'quadruple' berganda.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro