Siti Noor Radiah gagal raih pingat pada Kejohanan Dunia

Bernama
Julai 17, 2017 22:04 MYT
Atlet para Malaysia, Siti Noor Radiah Ismail menamatkan cabarannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London tanpa meraih sebarang pingat. -Gambar fail
Atlet para Malaysia, Siti Noor Radiah Ismail menamatkan cabarannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London tanpa meraih sebarang pingat.
Pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio 2016 dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) membuat lompatan sejauh 4.96 meter dalam percubaan kedua untuk mencipta lompatan terbaik pada musim baharu.
Catatan terbaik sebelum ini ialah 4.81 meter yang dicatatkan pada Kejohanan Terbuka Handisport Paris 2017 pada Jun lepas.
Pencapaian terbaik atlet Paralimpik Wanita Kebangsaan 2016 itu dalam acara lompat jauh ialah 5.20 meter yang dicatatkan pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, yang mengatasi rekodnya pada Sukan Para Asia dengan catatan 5.10 meter di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Acara itu dimenangi oleh atlet Croatia, Mikela Ristoski yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016 dengan lompatan sejauh 5.66 meter.
Pingat perak dan gangsa acara itu diraih oleh atlet Portugal, Erica Gomes dan Ana Filipe dengan masing-masing mencatatkan 5.48 meter dan 5.26 meter.
#Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 #Siti Noor Radiah #sukan #Sukan Paralimpik Rio 2016
;