Siti Noor Iasah mara ke peringkat akhir final 400m T20 Paralimpik Rio

Bernama
September 13, 2016 13:42 MYT
Siti Noor Iasah memenangi saringan kedua dengan mencatat masa 58.96 saat. - Gambar fail
Atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400 meter T20 wanita (masalah pembelajaran) di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.
Dalam peringkat saringan yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio pada Isnin, Siti Noor Iasah memenangi saringan kedua dengan mencatat masa 58.96 saat.
Catatan pelari jarak pertengahan negara berusia 27 tahun itu sekali lagi memperbaharui rekod Sukan Para Asia iaitu 1:01.33s miliknya, yang dilakukan di Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Siti Noor Iasah telah memperbaharui rekod Sukan Para Asia semasa beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas, dengan catatan masa 60.35s untuk meraih pingat gangsa.
Saingan akhir acara 400m T20 wanita akan berlangsung pada Selasa, melibatkanlapan pelari terbaik daripada kedua-dua peringkat saringan. - BERNAMA
#Paralimpik Rio 2016 #Rio de Janeiro #Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin #Sukan Para Asia Incheon
;