Siri Super Jepun: Chong Wei jumpa Lin Dan pada pusingan kedua

Astro Arena
September 9, 2015 20:00 MYT
Pemain nombor 28 dunia itu mara ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Boonsak Ponsana.
Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei menempah pertemuan yang dinanti-nantikan peminat dengan seteru utamanya, Lin Dan pada pusingan kedua Siri Super Terbuka Jepun 2015 esok.
Terlebih dahulu pemain nombor 28 dunia tu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk membenam cabaran Boonsak Ponsana 10-21, 21-15, 21-16 sementara Lin Dan turut dipaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pencabar Korea Selatan, Son Wan-ho 17-21, 25-23, 21-17.
Turut mengiringi Chong Wei ke pusingan kedua, beregu campuran Peng Soon Chan-Goh Liu Ying yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Wang Yilv-Luo Yu 21-16, 21-18. Namun ujian sebenar mereka pada hari esok apabila bakal membuang perhitungan dengan pilihan utama kejohanan, Zhang Nan-Zhao Yunlei.
Hajat beregu satu lagi campuran Tan Aik Quan-Lai Pei Jing untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila tewas kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 21-17, 21-17.
Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut mara selepas mengalahkan pasangan Jepun, Hiroyuki Saeki-Ryota Taohata 19-21, 21-19, 21-16 dan kejayaan itu diteruskan Hoon Thien How-Lim Khim Wah yang pada mulanya menghadapi tentangan sengit pasangan daripada Korea Selatan, Kim Gi-jung dan Kim Sa-rang sebelum menang 21-23, 21-19, 21-11.
#Lee Chong Wei #Lin Dan #Siri Super Terbuka Jepun 2015
;