Siri Super Akhir: Misbun anggap Chong Wei 'underdog'

Astro Arena
Disember 12, 2017 06:50 MYT
Misbun (kanan) menjelaskan Chong Wei (kiri) telah mengharungi kejohanan sebegini berulang kali dalam kariernya dan menyifatkan pemain itu tidak berada dalam tekanan yang tinggi berbanding lawan. - Gambar fail
KETUA jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, meletakkan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei, sebagai "underdog" dalam Kumpulan A, Kejohanan Badminton Siri Super Akhir Dubai 2017.
Chong Wei dijangka akan menghadapi tentangan sengit apabila berentap dengan Chen Long dalam saingan peringkat kumpulan.
Chong Wei diundi dalam satu kumpulan dengan bekas pemain nombor satu dunia, Son Wan Ho, Angus Ng Ka Long (Hong Kong) dan jaguh China, Chen Long.
Misbun menjelaskan Chong Wei telah mengharungi kejohanan sebegini berulang kali dalam kariernya dan menyifatkan pemain itu tidak berada dalam tekanan yang tinggi berbanding lawan.
"Ketika meraih kejayaan dalam Terbuka Hong Kong, Chong Wei dapat bermain mengikut rentak dan taktikal dan diharap dia akan meneruskan momentum ini," kata Misbun.
Perlawanan pertama Chong Wei adalah menentang Ng Ka Long, esok.
Tegas Misbun, walaupun beliau tidak berada bersama Chong Wei di Dubai, Misbun yakin Tey Seu Bock yang mengiringi sandaran utama negara itu mampu mengalas tugas dengan baik daripada segi memberikan panduan buat Chong Wei untuk beraksi di dalam gelanggang.
"Saya berharap Chong Wei dapat memberikan tumpuan untuk kejohanan kali ini," ujarnya.
#badminton #Chen Long #Dubai #jurulatih #Lee Chong Wei #Misbun Sidek #underdog
;