Siri jelajah pramusim 2023 di Turkiye sebagai persediaan mantapkan KDA FC

Bernama
Januari 29, 2023 07:20 MYT
Pasukan Kedah Darul Aman FC akan berlepas pada 5 Feb dan pulang pada 16 Feb ini sempena siri jelajah pramusim di Antalya, Turkiye. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan mengadakan siri jelajah pramusim di Antalya, Turkiye, selama 10 hari sebagai persiapaan skuad Sang Kenari dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata pasukan itu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan dengan pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Feb; FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Feb); FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Feb) dan FC Matelist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Feb.
Katanya, pasukan itu akan berlepas pada 5 Feb dan pulang pada 16 Feb ini.
"Semua perlawanan akan berlangsung pada jam 5 petang waktu Turkiye iaitu 10 malam waktu Malaysia. KDA FC merancang untuk menawarkan penstriminan secara langsung (berbayar) setiap perlawanan kepada semua penyokong pasukan," katanya selepas pengumuman jelajah pramusim pasukan KDA FC, di sini, semalam.
Beliau berkata menerusi siri jelajah tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain diharap dapat membentuk keserasian pemain beraksi secara berpasukan selain mengenal pasti kesebelasan utama di samping membina semangat dan jati diri baharu.
Dalam pada itu, Mohd Daud berkata KDA FC juga akan mengadakan majlis pelancaran jersi, memperkenalkan pemain dan pengumuman penaja musim 2023 pada 18 Feb depan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
-- BERNAMA
#Kedah Darul Aman FC #Turkiye #Mohd Daud Bakar #bola sepak
;