Singapura mula gunakan singkatan 'SGP' untuk Sukan SEA
Bernama
Mei 14, 2017 16:16 MYT
Mei 14, 2017 16:16 MYT
Singapura akan mula menggunakan singkatan ''SGP'' bagi kod negara itu, bukan lagi ''SIN'' seperti yang digunakan sebelum ini, di temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG), di sini.
Ini disahkan oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo.
"Ya, Singapura akan menggunakan SGP. Mereka telah memohon kepada IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan telah diluluskan," katanya kepada Bernama.
Kod baharu itu digunakan kali pertama sewaktu Sukan Asia Musim Sejuk 2017 di Sapporo, Jepun pada Feb lepas, selepas diluluskan oleh IOC pada Sept 2016.
Republik itu menggunakan singkatan ''SIN'' sejak 1959, termasuk ketika Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Malaysia juga pernah menggunakan singkatan ''MAL'' dari 1964-1988 sebelum menukarnya kepada ''MAS''.
Temasya Sukan SEA ke-29 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 19-30 Ogos manakala APG pula akan berlangsung dari 17-23 Sept.
-- BERNAMA