Singapura jadi penganjur F1 hingga 2028
Bernama
Januari 27, 2022 00:30 MYT
Januari 27, 2022 00:30 MYT
SINGAPURA: Kota Singa akan terus menjadi tuan rumah Formula 1 Grand Prix Singapura sebagai sebahagian daripada Kejohanan Dunia Formula Satu FIA selama tujuh tahun lagi, dari 2022 hingga 2028.
Ia diumumkan bersama hari ini oleh Formula 1, Singapore GP Pte Ltd (SGP), dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Iswaran berkata perlumbaan F1 Singapura terus menjadi tumpuan utama untuk pelancong, acara global dan pertemuan perniagaan.
"Kami bersetuju meneruskan perlumbaan F1 selama tujuh tahun lagi, selepas menilai secara menyeluruh faedah jangka panjang penggal yang dilanjutkan itu kepada Singapura.
"Pembaharuan itu akan membantu mengekalkan reputasi Singapura sebagai bandar global dengan gaya hidup yang bertenaga, menarik pengunjung antarabangsa, dan menjana pendapatan perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat Singapura," kata menteri itu.
Iswaran berkata Singapura akan memastikan bahawa perlumbaan tahun ini dan seterusnya, sebagai acara sukan antarabangsa berskala besar, yang selamat untuk COVID, berdasarkan situasi pandemik semasa dan penilaian kesihatan awam.
Menurut kenyataan itu, perlumbaan waktu malam di Singapura telah berlangsung 12 kali sejak dimulakan pada 2008.
Kira-kira 268,000 penonton hadir ketika kali terakhir dianjurkan pada 2019, kehadiran kedua tertinggi untuk perlumbaan itu.
Sejak dianjurkan pada 2008, perlumbaan itu menjana lebih S$1.5 bilion dalam pelancongan dan menarik lebih 550,000 pelancong antarabangsa.
Kenyataan itu menyebut ia merupakan pembaharuan kontrak kali keempat untuk Singapura, dan lanjutan tujuh tahun adalah yang paling lama untuk penganjuran perlumbaan itu setakat ini.
"Singapura mempunyai tempat istimewa dalam kalendar F1, dan lanjutan ini adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang kami untuk terus mengembangkan sukan itu di Asia," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Formula 1, Stefano Domenicali.
"Rancangan yang disediakan untuk mengurangkan kesan karbon di acara itu mengagumkan dan sejajar dengan rancangan kami untuk menjadi acara sukan Sifar Pelepasan Karbon menjelang 2030," katanya.
-- BERNAMA