Singapura hilang penjaga gol utama bertemu Thailand

Bernama
September 8, 2013 07:00 MYT
Singapura bakal kehilangan penjaga gol utama ketika menentang Thailand pada perlawanan kedua mereka di Kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur di sini esok.
Pembantu jurulatih K. Balagumaran berkata Muhammad Syazwan Buhari, 23, telah
dipanggil balik untuk menyertai Program Khidmat Negara.
"Kami tidak mempunyai pilihan, tetapi akan menurunkan penjaga gol ketiga (Neezam Abdul Aziz) ketika menentang Thailand," katanya kepada pemberita.
Mengulas mengenai Thailand, beliau berkata secara teknikal Thailand merupakan pasukan kuat sama ada ketika bermain di kejohanan peringkat junior atau senior.
"Sukar buat kami untuk mengalahkan mereka (esok), tetapi tidak mustahil untuk kami memungut tiga mata sekiranya kami dapat menembusi barisan pertahanan mereka yang kuat," katanya.
Sementara itu ketua jurulatih Thailand Kairung Threejagsang berkata pemain tengah Singapura, Muhammad Zulfahmi Mohd Ariffin boleh menjadi penentu kejayaan kepada Singapura kerana beliau mempunyai kemahiran yang baik.
"Dia bermain agak baik ketika menentang Malaysia semalam dan kami perlu berhati-hati dengannya," katanya.
#penjaga gol #Pestabola Merdeka #Singapura
;