Sinetron Suarez, Messi tamat - Portaluppi
Sinar Harian
Julai 28, 2023 11:20 MYT
Julai 28, 2023 11:20 MYT
PENGENDALI Gremio, Renato Portaluppi akhirnya mematahkan harapan Lionel Messi untuk bersatu semula dengan rakannya Luis Suarez di Inter Miami dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.
Susulan kekalahan 0-2 Gremio menentang Flamengo dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Brazil, Portaluppi tampil menegaskan isu perpindahan Suarez ke kelab Inter Miami berakhir.
Sebaliknya Portaluppi yang disegani dalam kalangan penyokong Gremio menyifatkan Suarez sebagai nadi kepada kelab apabila mengakui keupayaannya untuk membuat perubahan di padang.
"Ya, Luis Suarez sangat penting untuk kami, dia membuat perubahan kepada mood gaya permainan Gremio.
“Sinetron Suarez-Messi kini sudah tamat, kerana dia akan tinggal bersama kami sehingga Disember.
"Itu sekali gus memberikan kami dan pemain ketenangan fikiran dalam mengharungi baki musim ini," katanya kepada media.
Terdahulu, menurut laporan media Suarez meminta keizinan Gremio untuk menyertai bekas rakan sepasukan Barcelona - Messi, Sergio Busquets, Jordi Alba dan mungkin Andres Iniesta, di Inter Miami.
Bagaimanapun, situasi kontrak menimbulkan cabaran apabila Suarez terikat dengan kelab Brazil sehingga penghujung tahun 2024.
Gremio berkeras untuk menghormati kontrak bersama pemain itu terutamanya selepas melabur dalam pembelian Suarez.
Pada mulanya, Gremio menuntut kira-kira AS$10 juta dolar (RM45,505,000) sebagai pampasan untuk membebaskan Suarez, tetapi kini telah disahkan secara rasmi bahawa dia akan kekal di Brazil sehingga akhir tahun 2023. - Sinar Harian