Simeone rasa 'tak sedap' selepas Atletico dibelasah Bayern
Astro Arena
Oktober 22, 2020 09:57 MYT
Oktober 22, 2020 09:57 MYT
DIEGO Simeone berkata kekalahan 0-4 Atletico Madrid kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi membuatkannya berasa 'tidak sedap' tetapi enggan menyalahkan pemainnya dalam kekalahan itu.
Atletico jelas tidak dapat menandingi juara bertahan UCL itu dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Munich dengan pemain sayap Bayern, Kingsley Coman, merupakan watak penting dalam perlawanan itu.
Pemain kebangsaan Perancis itu menjaringkan dua gol -- gol keduanya hasil gerakan solo gemilang -- dengan Leon Goretzka dan Corentin Tolisso turut menemui sasaran dalam perlawanan berkenaan.
Kekalahan itu menjadi rekod terburuk Atletico dalam kejohanan berkenaan, di mana mereka hanya dapat melakukan satu percubaan tepat tetapi ketua jurulatih, Simeone, berasakan masih ada perkara positif yang boleh diambil.
"Saya berasa tidak sedap dengan kekalahan ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
"Tetapi saya juga memperoleh perkara yang amat bagus bagi masa depan kami. Saya tidak tahu jika kami melakukan terlalu banyak kesilapan atau ia disebabkan kualiti pihak lawan.
"Jadi saya hanya akan bercakap mengenai sikap pasukan ini dan sehingga ke penghujungnya, kami masih memburu gol. Kekuatan pihak lawan telah menjadi pemisah yang penting.
"Bayern berada dalam waktu terbaik. mereka pasukan yang hebat.
"Tetapi anda perlu lihat prestasi Hector Herrera, Yannick Carrasco, Marcos Llorente kerana mereka pasti akan meningkat selepas ini," katanya.