Silva bantu City kekal kelebihan di takhta EPL

Astro Awani
Disember 3, 2017 05:26 MYT
David Silva bantu Manchester City kekalkan kelebihan lapan mata di EPL apabila meledak gol lewat untuk membenam West Ham United 2-1 pagi ini. -Reuters
Pemain tengah David Silva bantu Manchester City kekalkan kelebihan lapan mata di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila meledak gol lewat untuk membenam West Ham United 2-1 pagi ini.
Kemenangan tersebut merupakan kemenangan ke-13 berturut-turut skuad kendalian Pep Guardiola dalam EPL.
Walau bagaimanapun, City terlebih dulu ketinggalan pada akhir babak pertama apabila pertahanan West Ham, Angelo Ogbonna menanduk masuk gol seminit sebelum waktu rehat.
Namun, City kembali garang pada babak kedua dengan mendominasi permainan selepas pemain pertahanan Nicolas Otamendi menyumbat masuk gol penyamaan pada minit ke-57 susulan hantaran Gabriel Jesus.
Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, Silva yang menerima hantaran cantik Kevin de Bruyne meledak gol kemenangan tuan rumah untuk meneruskan kemaraan City musim ini.
City yang dibimbing Pep Guardiola belum pernah tewas dalam sebarang perlawanan sejak April lalu dijadual bertemu Manchester United yang menghuni tangga kedua liga, minggu depan.
West Ham yang hanya menang dua perlawanan sepanjang musim ini pula menduduki tangga ke-19 liga, ketinggalan tiga mata di belakang West Bromwich Albion di tangga ke-17.
#David Silva #EPL #Manchester City #Ogbonna #Otamendi #Pep Guardiola #Silva #West Ham
;