Silva bangga julang trofi pertama bersama Portugal
Astro Arena
Jun 10, 2019 10:22 MYT
Jun 10, 2019 10:22 MYT
BERNARDO SILVA meluahkan rasa bangga menjulang trofi pertama bersama Portugal selepas menamatkan musim cemerlang dengan kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA menewaskan Belanda.
Pemain tengah itu menghasilkan bantuan gol untuk jaringan tunggal di Estadio Do Dragao awal pagi tadi, apabila hantaran bijak ke belakang membolehkan Goncalo Guedes melepaskan rembatan deras ke gawang.
Silva dinamakan selaku pemain terbaik kejohanan selepas aksi final setelah menambah satu lagi koleksi kejuaraan musim 2018-19, melengkapkan kejayaan Liga Perdana Inggeris, Piala FA serta Piala Liga bersama Manchester City.
"Bagi saya, menamatkan kempen sebegini memang hebat. Saya sangat gembira musim ini, menamatkan saingan dengan orang sekeliling yang bagus serta membantu kami dalam dua perlawanan terakhir dan kini, tiba masa untuk berehat dan lakukan persiapan untuk tampil lebih bagus musim depan," katanya.
"Saya sangat bangga. Apa yang penting Portugal menang. Saya berbangga kerana meraih kejuaraan pertama bersama pasukan negara dan sudah tentu apabila menambah satu lagi anugerah individu, ia lebih baik.
"Saya sangat bangga dengan hasil kerja dan sungguh gembira ketika ini."
Mengenai gol tunggal perlawanan, dia menambah: "Saya tidak ingat siapa yang menghantar bola kepada saya tetapi ia satu hantaran hebat.
"Saya mendengar Guedes memanggil. Saya tidak begitu jelas posisinya tetapi menolak bola dan lega dia menghasilkan penyudah yang hebat."
#Belanda
#Bernardo Silva
#bola sepak
#final
#Liga Negara-Negara UEFA
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester City
#Piala FA
#Portugal
#Ronaldo