Silibus MMA peringkat sekolah lebih selamat, lebih ketat - MASMMAA

Haider Yutim
Jun 30, 2019 18:19 MYT
MMA di peringkat sekolah sama seperti pertandingan karate, silat olahraga dan taekwondo yang mempunyai peraturan berbeza dan lebih selamat berbanding peringkat profesional. - Foto Instagram/@monarchymma
Usaha memperkenalkan seni bela diri campuran (MMA) di sekolah bukanlah mudah kerana sukan tersebut boleh dikatakan masih baharu di sini.
Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) Rashid Salleh, ibu bapa dan orang ramai perlu diberi penerangan terlebih dahulu tentang silibus sukan MMA di peringkat sekolah.
“Di tahap ini kita masih dalam perbincangan dengan jawatankuasa, sebab ia bukan mudah untuk mulakan sesuatu seperti ini.
"MMA dikira sukan yang masih baharu di Malaysia. Jadi ada banyak yang perlu diterangkan kepada ibu bapa sebelum kita promosikan sukan ini (di sekolah),” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis 'ONE Championship Media Night' di ibu negara, baru-baru ini.
Tambah Rashid, Persekutuan MMA Antarabangsa (IMMAF) turut mengeluarkan buku garis panduan tentang silibus MMA di sekolah.
Katanya, pertandingan MMA di peringkat sekolah sama seperti pertandingan karate, silat olahraga dan taekwondo yang mempunyai peraturan berbeza dan lebih selamat berbanding peringkat profesional.
BACA: Adakan sukan MMA di peringkat sekolah - MASMMAA
Selaku badan yang menyelia sukan tersebut di peringkat amatur, katanya beliau ingin memupuk semangat kesukanan, disiplin, kecergasan serta kekuatan minda kerana merasakan ia penting terhadap perkembangan atlet.
Cadangan itu turut disahut baik oleh atlet seni bela diri tanah air.
Bagi Saiful Merican dan Jihin Radzuan, MMA bukan hanya tentang berlawan tetapi ia tentang disiplin dan membina keyakinan diri.
“Ia bukan hanya pasal berlawan, ia pasal keyakinan diri, harga diri, yang akan membantu mereka jadi lebih berdisiplin.
"Jika anda mahu lihat anak muda Malaysia di Olimpik, bertanding MMA, kena mulakan dari akar umbi,” jelasnya.
Menurut Jihin, kanak-kanak zaman sekarang dilihat semakin manja dan mereka perlu membina keyakinan serta jati diri menerusi seni bela diri.
“Kanak-kanak semakin manja, tak kira lelaki atau perempuan, mereka semakin manja.
“Mereka tak mampu buat keputusan sendiri, jadi bagi saya jika mereka pelajari seni bela diri di sekolah, mereka boleh jadi lebih yakin,” katanya.
#Jihin Radzuan #MASMMAA #Mixed Martial Arts #MMA #MMA di sekolah #ONE Championship #Rashid Salleh #Saiful Merican #seni bela diri campuran
;