Silat dapat membina masyarakat yang mempunyai jati diri
Bernama
November 17, 2012 08:41 MYT
November 17, 2012 08:41 MYT
Seni persilatan dapat membantu membina satu masyarakat yang mempunyai ketahanan dalaman, jati diri, disiplin dan pembentukan sahsiah yang tinggi, kata Datin Seri Rosmah Mansor.
Isteri Perdana Menteri itu berkata pembabitan golongan wanita dalam seni silat dapat membentuk karektor sekali gus membantu membentuk masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan yang tinggi kepada negara.
"Apa yang menarik mengenai silat adalah ianya diamalkan bukan sahaja di kalangan pahlawan Melayu tetapi juga di kalangan srikandi Melayu," katanya ketika berucap pada perasmian Kejuaraan Silat Antarabangsa 2012 Piala Datin Sri Rosmah di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, Jumaat malam.
Menerusi Tun Fatimah, wanita yang terkenal dengan kehandalan bersilat sewaktu membantu Melaka dalam menentang Portugis pada abad ke-16 menunjukkan wanita dan silat merupakan satu perhubungan yang telah dijalinkan sejak sekian lama dan tidak dikhususkan buat kaum lelaki sahaja, katanya.
Lebih 350 peserta dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Malaysia mengambil bahagian pada kejuaraan julung kali diadakan, anjuran Persatuan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
Menurut Rosmah, apa yang menarik mengenai silat pada suatu ketika dahulu merupakan seni mempertahankan diri yang amat penting sekali dan diamalkan di seluruh nusantara.
Mengenai kejuaraan itu, Rosmah berkata ianya amat baik dan sangat dialu-alukan bagi menyemarakkan semangat srikandi dan kesukanan dalam melahirkan jaguh persilatan.
"Kita juga seharusnya berasa bangga kerana silat telah dipertandingkan di Sukan SEA sejak 1979 dan telah menjadi acara demonstrasi di Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan," katanya.
Beliau yakin tidak mustahil sekiranya seni silat akan dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik pada satu masa nanti.