Sikap profesionalisme barisan PSG disanjung
Astro Arena
Januari 6, 2020 10:35 MYT
Januari 6, 2020 10:35 MYT
LINAS-MONTLHERY 0 PSG 6
Thomas Tuchel memuji barisan pemain Paris Saint-Germain (PSG) atas sikap profesionalisme dan kerendahan hati mereka dalam kemenangan 6-0 ke atas pasukan divisyen enam, Linas-Montlhery, sempena pertemuan Coupe de France, awal pagi tadi.
Walaupun turun tanpa bintang utama seperti Kylian Mbappe, Neymar dan Mauro Icardi, PSG masih dijangka akan menang selesa dan prestasi mereka tidak mengecewakan.
Selepas mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama hasil jaringan Adil Aouchiche dan Edinson Cavani, permainan bertambah rancak dalam babak seterusnya.
Cavani sekali lagi menemui sentuhan penyudah disusuli jaringan Pablo Sarabia dan Eric-Maxim Choupo-Moting untuk PSG menempah tiket ke pusingan 32 sehingga mengundang pujian daripada Tuchel.
"Kami serius dan sangat merendah diri," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
"Kami memang berhak menang.
"Ia bukan mudah kerana pihak lawan beraksi dengan baik sepanjang perlawanan, begitu juga dengan kami. Ia adalah satu perlawanan yang bagus untuk memulakan tahun 2020."
Cavani hanya muncul enam kali dalam kesebelasan utama musim ini ekoran kehilangan tempatnya sejak ketibaan Icardi, justeru Tuchel gembira melihat pemain berusia 32 tahun itu -- yang dijangka beralih angin pada akhir musim ini -- merangsangkan keyakinannya.
"Edi (Cavani) menjaringkan gol, inilah yang kami tuntut daripadanya," kata pengurus dari Jerman itu.
"Ia menyuntik keyakinan kepadanya dan itulah yang terbaik."
Pendahulu Ligue 1 itu akan menyambung aksi pada awal pagi Khamis ini apabila bakal menyambut kunjungan Saint-Etienne untuk saingan Couple de la Ligue.
#Edi Cavani
#Kylian Mbappe
#Linas-Montlhery
#Paris Saint-Germain
#profesionalisme
#PSG
#rendah hati
#Thomas Tuchel