Sikap ambil mudah, punca Kelantan tewas kepada Pahang
Bernama
April 9, 2017 13:27 MYT
April 9, 2017 13:27 MYT
Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail kecewa dengan sikap ambil mudah pemainnya sehingga menjadi punca pasukannya tewas kepada Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Zahasmi berkata kesemua pemainnya yang diturunkan pada perlawanan tersebut dilihat hilang tumpuan selepas berjaya mendahului pasukan pelawat pada separuh masa pertama.
"Pemain cepat berasa selesa dengan jaringan oleh Mohamad Ghaddar, mereka merasakan pasukan sudah menang dengan satu gol tersebut oleh itu mereka leka dengan melakukan banyak kesilapan.
"Mereka (pemain) terlalu banyak memberi ruang kepada pemain Pahang untuk membolehkan pasukan itu melakukan perancangan sehingga menjaringkan dua gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Zahasmi berkata kelemahan taktikal dan disiplin pemain juga merupakan faktor pasukannya itu tewas di gelanggang sendiri.
Pada perlawanan itu Kelantan tewas 1-2 kepada pasukan Pahang. Gol Kelantan dijaringkan oleh Muhamad Ghaddar pada minit ke-16 manakala Pahang disumbangkan melalui jaringan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-60 dan Matheus Alves Leandro minit ke-62.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh berkata kemenangan ke atas pasukan tuan rumah itu merupakan tiga mata penting buat pasukannya bagi menghadapi saingan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah dalam perlawanan seterusnya.
"Kita turun ke Kota Bharu mahu mengejar tiga mata oleh itu dalam perlawanan malam ini (malam tadi) kami bermain secara habis-habisan bagi memastikan sasaran kami itu dicapai.
"Pada separuh masa kedua, kami melakukan sedikit perubahan untuk membolosi pintu gawang Kelantan dan rezeki menyebelahi kami malam ini," katanya.
Kelantan kini berada pada kedudukan keenam liga dengan 12 mata selepas lapan perlawanan hasil daripada empat kemenangan dan empat tewas. Pahang pula berada di puncak liga dengan 19 mata hasil daripada enam kemenangan satu seri dan dua kalah.