SIC, ZK Racing bincang masa depan Damok
Bernama
Oktober 6, 2023 15:10 MYT
Oktober 6, 2023 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mengadakan perjumpaan bersama pengurus pasukan ZK Racing Zulfahmi Khairuddin bagi membincangkan masa depan pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata ia selepas keputusan dibuat pasukan disertainya MT Helmets-MSi minggu lepas untuk tidak lagi menggunakan khidmat pelumba yang turut dikenali sebagai Damok itu pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim hadapan.
Damok satu-satunya wakil Malaysia di MotoGP dalam kelas Moto3 musim ini.
"Perancangan asalnya adalah untuk memberi Syarifuddin peluang pada tahun pertama untuk membiasakan diri berlumba di kejohanan dunia.
"Tahun pertama biasanya memberikan kesukaran kepada kebanyakan pelumba. Namun memandangkan MT Helmets-MSi memutuskan untuk menggunakan pelumba lain, jadi kami perlu memikirkan sesuatu buat beliau," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Shafriman berkata pihaknya kini sedang sedaya upaya mencari jalan untuk membantu pelumba tersebut melanjutkan karier perlumbaannya, bergantung kepada kekosongan slot terhad kelas Moto3.
"Tidak banyak slot dalam Moto3, jadi kami harap dapat peroleh satu buat beliau. Setakat ini tidak ada peruntukan kerana ia bergantung kepada sama ada kerajaan masuk (dengan pembiayaan) atau penaja masuk," katanya.
Selepas 13 pusingan, pelumba berusia 21 tahun itu hanya mampu meraih lima mata, diraihnya pada pusingan kedua di GP Argentina ketika rakan sepasukannya, Diogo Moreira menyerlah apabila meraih 101 mata untuk menduduki tempat ketujuh pelumba Moto3.
Malah ketika di GP India, Damok tewas kepada pelumba wild card negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 bersama pasukan Petronas MIE Racing Vision Track Racing.
-- BERNAMA