SIC tawar diskaun pembelian tiket awal MotoGP
Bernama
Januari 26, 2017 23:45 MYT
Januari 26, 2017 23:45 MYT
Penganjur dan promoter sukan permotoran, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) menawarkan tiket diskaun bagi menyaksikan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) tahun ini.
Harga tiket diskaun bagi pembelian awal adalah serendah RM44.25, bermula sekarang sehingga 31 Mac ini.
Malaysia akan menganjurkan Pusingan 17 MotoGP 2017 dari 27 hingga 29 Okt.
"Berikutan jumlah penonton MotoGP Malaysia terus meningkat tahun demi tahun mendorong kita menawarkan peluang kepada peminat bukan sahaja mendapatkan tiket seawal mungkin, tetapi juga menikmati diskaun menarik apabila membeli tiket lebih awal.
"Pada tahun lepas, tiket habis dijual sebulan sebelum hari perlumbaan, maka kami menggalakkan peminat untuk mendapatkan tiket sekarang bagi mengelak kekecewaan di kemudian hari. Perlumbaan musim ini menjanjikan sesuatu yang sangat menarik," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dalam kenyataan hari ini.
"Kita ada rombakan pada nama-nama besar dalam kelas MotoGP, beberapa pelumba beralih ke kelas lain, dan kita juga sudah pasti mahu melihat pelumba Malaysia Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin serta pelumba baharu SIC Racing Team Ayumu Sasaki bersaing pada tahun ini," katanya.
Orang ramai boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web SIC di www.sepangcircuit.com atau membeli di Pusat Khidmat Pelanggan SIC atau hubungi tiket hotline SIC di 03-8778 2222.
Peminat sukan permotoran juga boleh menyaksikan ujian musim sejuk pra-musim di Litar Sepang bermula 10 pagi pada 30 Jan hingga 1 Feb.
"Ambil peluang menyaksikan ujian musim sejuk pra-musim 2017 di Litar Sepang semasa membeli tiket anda. Masuk ke Tempat Duduk Utama adalah percuma," kata Razlan.
-- BERNAMA