SIC sasar 30,000 penonton saksi Races of Malaysia

Bernama
Disember 11, 2019 04:55 MYT
Sebahagian daripada pelumba yang menyertai pelumbaan Races of Malaysia. - Bernama
Sepang International Circuit (SIC) yakin sekurang-kurangnya 30,000 penonton akan membanjiri Litar Antarabangsa Sepang sempena penganjuran sulung Races of Malaysia.
Races of Malaysia membabitkan perlumbaan serentak dua roda World Endurance Championship (EWC) Sepang 8 Hours dan empat roda World Touring Car Cup (WTCR) pada 13 sehingga 15 Dis.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata untuk tahun pertama ini, SIC menganggap ia sebagai 'pengenalan' kepada peminat sukan permotoran tempatan dan luar negara mengenai penganjuran pertama kali dua kejohanan dunia di Malaysia.
"Kalau hendak dibandingkan dengan MotoGP dan Formula Satu (F1), ia agak berlainan. Mungkin sebab rakyat Malaysia belum tahu apakah event ini lagi. Jadi, kita hanya sasarkan 25,000 hingga 30,000 penonton sahaja.
"Harapan kita tahun pertama ini, untuk kita wujudkan kesedaran sebab kita ada hak penganjuran event ini selama tiga tahun. Tahun pertama untuk kesedaran dan dapat lihat apa yang akan berlaku minggu ini. Insya-Allah tahun kedua dan ketiga ia akan meningkat lebih baik lagi," katanya.
Razlan berkata memandangkan EWC dan WTCR adalah dua kejohanan dunia penutup bagi sukan permotoran, penganjuran di Malaysia secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan kempen Visit Malaysia Year 2020.
"Ini adalah event yang terakhir untuk FIA dan FIM. Dengan tiadanya F1, MotoGP dan WSBK semua tumpuan akan berada kepada Malaysia. Seluruh dunia akan tengok Malaysia anjurkan sukan ini," katanya.
Perlumbaan EWC yang dikenali sebagai Sepang 8 Hours itu, julung kali dianjurkan di Litar Sepang, adalah pusingan kedua dalam kalendar kejuaraan EWC musim 2019-2020, selain menjadi pusingan kelayakan bagi pasukan Asia untuk layak ke Suzuka 8 Hours, tahun depan.
Sementara WTCR pula adalah pusingan akhir dan akan menyaksikan seorang pelumba bakal dinobatkan sebagai juara dunia.
Perlumbaan WTCR terdiri daripada tiga perlumbaan singkat pada waktu siang, petang dan pada malam di bawah lampu limpah pada Ahad, 15 Dis di Litar Antarabangsa Sepang.
Pelumba negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Zaqhwan Zaidi, Azlan Shah Kamaruzaman, Adam Norrodin bakal membuat penampilan dalam perlumbaan EWC manakala Mitchell Cheah, Douglas Koo dan Hafizh Syahrin mendapat tiket wildcard untuk WTCR.
-- BERNAMA
#ewc #Litar Antarabangsa Sepang #perlumbaan #races of malaysia #SIC #World Endurance Championship #World Touring Car Cup #WTCR
;