SIC sasar 10,000 penonton luar acara WTCR dan EWC

Bernama
April 9, 2019 05:25 MYT
Acara WTCR dan EWC merupakan acara baharu yang diadakan dalam usaha mempromosikan kembali kegemilangan SIC. - Gambar fail
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mensasarkan 10,000 peminat perlumbaan bermotor luar negara terutama dari Indonesia untuk menyaksikan FIA World Touring Car Cup (WTCR) dan FIM Endurance World Championship (EWC) yang dijadual pada 14 dan 15 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, sasaran itu berdasarkan kehadiran peminat sukan bermotor dari luar negara di Moto Grand Prix Malaysia 2018, peminat dari Indonesia adalah sekitar 14,000 penonton.
"Kami berharap peminat sukan bermotor dari Indonesia akan terus menyokong acara WTCR dan EWC nanti," katanya pada majlis mempromosikan acara itu di Jakarta, pada Selasa.
Beliau berkata promosi perlumbaan kelas dunia itu turut mendapat kerjasama Tourism Malaysia di Indonesia dan ejen pelancongan Indonesia, TX Travel.
Razlan berkata acara WTCR dan EWC merupakan acara baharu yang diadakan di SIC, dalam usaha mempromosikan kembali kegemilangan SIC selepas Malaysia tidak lagi menganjurkan perlumbaan F1.
Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata pakej-pakej yang ditawarkan untuk menyaksikan perlumbaan itu adalah pakej 2 Hari 1 Malam (2H1M), 3H2M dan 4H3M, bermula pada harga Rp3.9 juta. (Rp1 juta = RM287)
"Menerusi kerjasama ini, kami berharap akan dapat mencapai sasaran 3.6 juta pelancong Indonesia ke Malaysia untuk tahun 2019," katanya.
-- BERNAMA
#endurance world championship #ewc #FIA #Indonesia #Litar Antarabangsa Sepang #peminat permotoran #Razlan Razali #SIC #WTCR
;